Tuesday, August 24, 2010

Bermain dengan isteri /suami orang

Kisah wanita belum berkahwin `bermain api’ atau bercinta dengan suami orang agak biasa didengar dan sudah banyak diperkatakan. Bagaimanapun, kisah lelaki bercinta dengan isteri orang sama ada tua, muda atau yang sudah berkahwin dan duda, masih jarang menjadi bahan cerita secara terbuka.

Jika ada sekalipun, lazimnya wanita atau isteri orang itu yang akan dipersalahkan atau dituduh tidak pandai menjaga maruah dan mengawal nafsu sehingga terjebak gelora `cinta terlarang’. Barangkali, inilah harga diri harus dibayar bagi wanita bergelar isteri apabila membiarkan diri hanyut dalam keadaan seperti itu.

Persoalannya, mengapakah lelaki walaupun tahu wanita itu sudah berkahwin masih memburu kasih dan sayang daripada wanita itu. Siapa yang buru siapa?

Perunding Klinikal Psikologi Perkahwinan dan Terapi Seksologi Keluarga, Datuk Dr Mat Saat Baki, berkata membicarakan fenomena lelaki bercinta dengan isteri orang, beberapa perkara perlu dikaji terlebih dulu. Antaranya, termasuk siapa lelaki itu, status perkahwinan, kedudukan, status kewangan dan perhubungan perkahwinan serta usianya.

Beliau berkata, berdasarkan status perkahwinan, ia merangkumi mengetahui sama ada lelaki itu masih bujang, berkahwin atau duda.



“Lelaki bujang minat bercinta dengan isteri orang kerana kurang tanggungjawab. Jika ada krisis, wanita atau kekasihnya itu boleh balik ke pangkuan suaminya. Bagi lelaki bujang, biasanya perhubungan seperti itu hanya untuk keuntungannya. Malah, perhubungan cinta seperti itu jika disusuli hubungan seksual, jarang sekali ada niat untuk berkahwin. Jika adapun hanya segelintir kecil,” katanya.

Dr Mat Saat berkata, bagi lelaki berkahwin pula ia adalah untuk memenuhi kekosongan dalam perhubungan dengan isterinya yang tidak dapat memenuhi keperluannya dari segi fizikal, mental dan sebagainya. Jadi, lelaki berkenaan berharap kekasihnya yang sudah berkahwin itu dapat memenuhi kehendak dan berdamping dengannya.

“Di sini, lelaki itu ada dua harapan. Satu, menaruh harapan agar kekasih atau isteri orang itu meminta cerai dan membolehkannya berkahwin. Kedua, berharap isteri sekarang dapat menerima kekasihnya itu. Bagaimanapun biasanya, kedua-dua harapan itu hancur berkecai,” katanya.

Lelaki duda pula, dalam keadaan sunyi dan memerlukan seseorang. Lelaki berkenaan lazimnya mengharapkan dengan berkasih isteri orang yang ada pengalaman berumahtangga, ia dapat mengisi kesunyian. Selain itu, berharap dapat peluang menjalin hubungan seksual kerana realitinya beliau tiada lagi pasangan dan wanita itu boleh memenuhi keperluan itu.

“Sama ada melakukan hubungan seksual boleh atau tidak, itu bukan isu. Jika dianggap isu mereka tidak akan melakukannya,” katanya.

Soal kedudukan pula lelaki mungkin lebih tinggi, sama taraf dan lebih rendah daripada wanita itu. Jika lelaki ada kedudukan dan berpangkat, wanita yang sudah bergelar isteri itu mungkin berharap apabila menjalinkan cinta, kedudukan lelaki itu dapat `berjangkit’ kepadanya.

Bagi wanita dan lelaki berkedudukan sama taraf, perhubungan terlarang yang wujud lazimnya berbentuk kebebasan melakukan perkara sama masing-masing sukai. Misalnya, sama-sama minat menonton cerita cinta dan sebagainya. Perhubungan seperti itu lebih untuk mengisi kekosongan dan menghiburkan diri sendiri.

“Tetapi lelaki rendah kedudukan, untuk wanita yang sudah berkahwin lelaki seperti itu sebagai alat permainan atau toy saja. Inilah dinamakan konsep `toy boy’ atau jadi budak suruhan. Wanita masih `in charge’ dan lelaki berkenaan hanya mainan saja. Apapun, lelaki golongan ini tidak kisah asalkan dapat upah dan tajaan yang dijanjikan. Paling penting, semua dia dapat sama ada keperluan material mahupun seksual,” kata Dr Mat Saat.

Beliau berkata, perkara ini sama juga dengan soal status kewangan. Bagi wanita yang dilimpahi kemewahan harta dan wang ringgit, istilah `sugar mummy’ wujud apabila menjalinkan hubungan dengan lelaki lain. Wanita `sugar mummy’ itu biasanya berumur awal 40-an, manakala lelaki awal 24 tahun atau sebelum 30-an.

Katanya, hubungan terjalin itu hanya untuk kepuasan, malah dengan kedudukan dan kemewahan dimiliki wanita terbabit tidak kisah berhabis duit untuk lelaki berkenaan.

“Wanita itu lebih suka memilih lelaki bujang kerana baginya, boleh `tendang’ bila-bila masa dia hendak. Paling penting, lelaki itu mesti layan dirinya – apabila dipanggil mesti datang dan penuhi kepuasannya. Bagi wanita itu, jika suami boleh buat aku pun boleh buat.

“Bagi lelaki itu pula, ada yang memang mencari sasaran dan peluang sedemikian. Tua tidak mengapa, asalkan ada ganjaran. Malah, ada lelaki golongan itu yang `pasang’ atau melayan lebih daripada satu wanita pada satu masa. Kebanyakan wanita pula sedar, lelaki itu ada partner lain tetapi juga tidak kisah,” katanya.

Dalam sesetengah kes, suami turut tahu perbuatan isteri tetapi tidak bertindak. Suami bukan tidak berani bertindak tetapi akan berfikir untuk berbuat demikian kerana pertama, memikirkan kerugian bakal ditanggung, contohnya kebanyakan harta atas nama isteri.

Dr Mat Saat berkata, hakikatnya lelaki bercinta dengan isteri orang memang terjadi dalam gaya hidup aliran masa kini dan ia terjadi sebab kebebasan individu.

“Kepuasan diri adalah lebih penting. Pegangannya, jika kau tidak dapat memberi kepuasan kepada aku ada orang yang sanggup dan rela. Apa salahnya? Dari segi hukum, haram tetap haram dan zina tetap zina. Hukum halal haram bukan tidak difikirkan tetapi tidak dianggap penting sebab agama menentukan apa yang kita tidak boleh buat dan sebaliknya, tetapi tidak menghalang apa yang kita hendak buat.

“Jika faham konsep agama itu, barulah difahami mengapa keadaan seumpama itu terjadi dalam masyarakat hari ini. Perkara ini berlaku bukan kerana pengaruh filem, sosial dan pemberontakan diri tetapi kebebasan individu iaitu `aku berhak menentukan kehidupan sendiri’. Ia juga proses evolusi dan normal pada individu. Hakikatnya, kita lupa siapa kita. Jika kita sedar, konsep kita ini milik Tuhan, dan bukan hak individu saja, kita akan berfikir untuk tidak berbuat demikian,” katanya.

Dr Mat Saat menasihatkan, wanita sudah berkahwin yang terjebak dengan hubungan seperti itu, seharusnya mencari penyelesaian kemelut dihadapi dengan suami. Perkara pertama yang dilakukannya ialah `membersihkan’ ikatan perkahwinan sedia ada. Seandainya, perceraian lebih baik ia wajar dilakukan daripada terus bergelumang melakukan perkara tidak elok.

Katanya, apa yang membimbangkan ialah nasib wanita itu sendiri, selepas diceraikan lelaki atau kekasihnya enggan menerimanya. Bak kata pepatah, `sudah jatuh, ditimpa tangga’.

Beliau turut menegaskan, sama ada wanita belum berkahwin menjalin hubungan dengan suami orang atau wanita bergelar isteri, bermain cinta dengan lelaki lain, kesalahan tetap nampak menjurus kepada wanita. Itu tidak mustahil berlaku kerana dalam hubungan perkahwinan, wanita atau isteri yang biasanya menderita maka sebab itulah perundangan perlu membela wanita.

INFO

Risiko wanita bergelar isteri menjalinkan hubungan lelaki lain:

* Menambah porak peranda dalam rumah tangga

* Maruah diri dan keluarga tercemar

* Perceraian

* Anak mengalami trauma

* Perebutan harta dan anak apabila bercerai

Pendekatan yang boleh membantu masalah dihadapi:

* Mencari punca yang menyebabkan tercetusnya hubungan dan pergolakan antara suami dan isteri

* Mendekatkan diri dengan roh keagamaan

* Mendapatkan khidmat nasihat kaunseling

* Mengadakan perbincangan keluarga

2 comments:

  1. Online Casino, Slots, Games & Gambling - Gambien Hoppe
    Gambien Hoppe is a leading online casino with hundreds of games 온라인 카지노 주소 you can play. You can choose between slots, poker, blackjack, roulette, keno,

    ReplyDelete
  2. A Vegas Casino Review – A Vegas Insider's Guide - Dr.
    The casino was 파주 출장마사지 an established player 양산 출장마사지 and casino, and 광양 출장안마 has operated since 2005. This 오산 출장안마 is evidenced by its very 안양 출장마사지 wide range of games, including the

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails